Posted by: Ruslan Mamat | Januari 12, 2008

KESILAPAN2 KETIKA MENGERJAKAN SOLAT (Bhg 6)

19. TIDAK MEMENTINGKAN SAF PERTAMA

Ada di kalangan jema’ah tidak suka sembahyang di baris atau saf pertama. Malah ada di kalangan mereka suka berjema’ah di saf paling belakang. Ini bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW. Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu , ia berkata, telah bersabda Rasulullah SAW: “Kalaulah orang-orang tahu keutamaan yang ada dalam azan (maksudnya memenuhi seruan azan dengan berjema’ah di masjid) dan berada di saf pertama, kemudian mereka tidak mendapatkannya, kecuali dengan cara mengundi, pasti mereka akan mengadakan undian.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Para fuqaha telah bersepakat mengatakan bahawa sunat bagi para jemaah untuk memenuhi saf yang pertama terlebih dahulu sehingga tidak ada ruang yang kosong atau renggang. Kemudian baharulah diikuti dengan saf yang kedua dan seterusnya.

Ini adalah berdasarkan hadis-hadis yang menerangkan mengenainya, antaranya sabda Rasulullah SAW: “Sempurnakanlah oleh kamu saf yang depan (saf yang pertama), kemudian saf-saf berikutnya, maka saf yang kurang itu (disebabkan sedikit makmum) hendaklah (saf yang kurang itu berada) di saf bahagian belakang”. (Hadis diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Nasa’i)

Oleh yang demikian, tidak digalakkan bagi para jemaah untuk mendirikan saf yang kedua atau berikutnya melainkan selepas sempurnanya saf yang pertama atau berikutnya. Dalam erti kata lain, jangan dibiarkan saf yang di hadapan makmum itu kosong atau renggang begitu sahaja, bahkan disunatkan ke atas mereka mengisinya dan merapatkannya. Para imam jema’ah hendaklah memerhatikan hal ini sebelum memulakan sembahyang!

Disunatkan juga ke atas makmum yang berada di hadapan memberikan ruang kepada makmum yang di belakang yang hendak masuk ke saf hadapan selagi ada ruang baginya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Luruskanlah oleh kamu saf-saf dan sejajarkanlah di antara bahu-bahu kamu, tutupi celah-celah dan berlaku lembutlah ketika memegang tangan saudaramu (waktu merapatkan saf), dan janganlah kamu biarkan celah-celah (yang kosong) itu untuk syaitan. Barangsiapa menghubungkan saf, maka Allah menghubungkannya (dengan rahmatNya) dan barangsiapa memutuskan saf, maka Allah memutuskannya (daripada rahmat dan pertolonganNya)”. (Hadis diriwayatkan oleh Imam Abu Daud)

Memenuhi ruang-ruang saf bukanlah suatu kerja yang susah. Ia suatu kerja yang amat senang dilakukan. Namun begitu, sikap setengah orang amat payah untuk menggerakkan kakinya satu atau dua langkah untuk memenuhi ruang-ruang saf yang masih renggang atau kosong. Dia lebih rela membiarkannya begitu sahaja dalam keadaan renggang atau kosong, ataupun dia lebih rela menyuruh orang lain memenuhinya. Walhal mengisi atau memenuhi ruang-ruang saf yang kosong atau renggang itu mempunyai kelebihan yang besar. Jika dia tahu nescaya dia tidak akan melepaskannya kepada orang lain.

Rasulullah SAW memperingatkan orang yang suka membelakangkan diri (berada di saf paling belakang): “Selama suatu kaum membelakangkan diri, Allah akan membelakangkan mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim dan Ibnu Huzaimah)

20. TIDAK MELURUS ATAU MERAPATKAN SAF KETIKA BERJEMAAH.

Meluruskan dan merapatkan saf amat dititik-beratkan oleh Rasulullah SAW. Imam jemaah bukan sekadar memberitahu makmum supaya meluruskan dan merapatkan semata-mata, malah Rasulullah SAW melihat sendiri merapat dan meluruskan saf jemaah.

Sebahagian sahabat berkata, Adalah Nabi SAW apabila telah berdiri di tempatnya untuk sembahyang, tidaklah terus beliau bertakbir, sebelum beliau melihat ke kanan dan ke kiri menyuruh makmum merapatkan bahu mereka seraya bersabda: janganlah kamu maju mundur (tidak lurus), yang menyebabkan maju mundurnya jiwa-jiwa kamu (Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

Dari An Nu’man bin Basyir Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Dahulu Rasullullah SAW meluruskan saf kami sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sampai saf kami telah rapi), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk sembahyang) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang membusungkan dadanya, maka beliau bersabda: “Wahai para hamba Allah, sungguh kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian“. (Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Rasulullah SAW bersabda,Apakah kalian tidak berbaris sebagaimana berbarisnya para malaikat di sisi Rabb mereka?” Maka kami berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana berbarisnya malaikat di sisi Rabb mereka?” Beliau menjawab: “Mereka menyempurnakan barisan-barisan [saf-saf], yang pertama kemudian [saf] yang berikutnya, dan mereka merapatkan barisan (Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim, An Nasa’i dan Ibnu Khuzaimah).

Dari Aisyah Radhiyallahu ‘anha, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang menutup kekosongan (saf), Allah akan mengangkat darjatnya dengan hal tersebut dan akan dibangunkan sebuah istana di syurga untuknya (Hadis riwayat Imam Abu Dawud/Shahih At-Targhieb Wat Tarhieb No. 502)

Tahap merapatkan saf ialah dengan merapatkan antara bahu ke bahu makmum yang bersebelahan dengan kita dan juga merapatkan anak kaki para makmum. Hal ini, ramai makmum tidak memberi perhatian yang sewajarnya.

Dari Anas Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Dan salah satu dari kami merapatkan bahunya pada bahu temannya dan kakinya pada kaki temannya. (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari)

Al-Imam Al-Suyuthi Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan di dalam kitabnya Basth Al-Kaf fi Itmam Al-Shaf, keengganan seseorang untuk mengelokkan saf sembahyang boleh mengurangkan satu darjat daripada ganjaran pahalanya sebanyak dua puluh tujuh, kerana mengelokkan saf itu mengandungi nilai satu darjat.

Di samping itu, keengganannya mengelokkan saf meluputkan lagi sembilan perkara kebajikan lain yang mewakili dua puluh tujuh perkara kebajikan yang disebutkan di atas, di mana tiap-tiap satunya mengandungi nilai satu darjat.

Kesempurnaan ibadat sembahyang sebagaimana yang ditentukan oleh syara‘ merupakan suatu tuntutan, termasuk tatacara kesempurnaannya itu, jika sembahyang yang dilakukan secara berjemaah ialah dengan memenuhkan dan meluruskan saf sembahyang. Memenuhkan dan meluruskan saf tidaklah susah. Hanya sekadar mengorak beberapa langkah ke hadapan, ke kiri atau ke kanan.

Yang menjadikannya susah ialah sikap atau tabiat yang tidak mahu berubah untuk mendisiplinkan diri dalam mengelokkan saf atau kerana kurang ilmu mengenai kelebihan mengelokkan saf sehingga ia dipermudah-mudahkan dan dianggap remeh!

Perintah memenuhkan dan meluruskan saf janganlah dipandang remeh. Mana mungkin begitu, kerana ancaman Allah jelas bagi orang yang tidak menyempurnakan saf dengan menjadikan rupanya dengan bentuk keledai atau hati menjadi tidak bersefahaman, selain itu hilangnya banyak kelebihan atau fadilat. Ini bererti rugi! Maka kerugian inilah mesti dielakkan.

Oleh kerana memenuhkan dan meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan sembahyang, maka tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh berubah untuk mengelokkan saf. Jangan biarkan diri kita hanyut dengan memandang mudah terhadap kepentingan saf yang elok dan sempurna itu.

21. MEREMEHKAN SEMBAHYANG FARDHU BERJEMAAH DI MASJID

Ada sebuah hadis yang mengatakan bahawa sesiapa yang tinggal berdekatan dengan masjid atau surau, yang apabila dikumandangkan azan untuk sembahyang berjemaah, tetapi dia lebih suka sembahyang sendirian di rumah, maka hukum sembahyangnya itu dianggap tidak sah. Sebahagian ulama’ mentafsirkan “tidak sah” ini sebagai “tidak sempurna”.

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, sabda Rasulullah SAW, “Tidak sah sembahyang bagi tetangga masjid kecuali di masjid.” (Hadis riwayat Imam Daruquthni dan Hakim)

Dari Ibnu Abas Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mendengar azan, sedang tidak ada uzur yang menghalanginya mengikuti sembahyang berjema’ah, maka tidak sah sembahyang yang dilakukan sendirian.” Mereka (para sahabat) bertanya: “Apa itu uzur?” Rasulullah SAW menjawab: “Rasa takut (tidak aman) atau sakit.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Perhatikan pula hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini: Dari Abdullah bin Mas’ud Radhiyallahu ‘anhu : “Barangsiapa yang suka bertemu dengan Allah Ta’ala dalam keadaan muslim, maka peliharalah sembahyang-sembahyang ini begitu terdengar azan. Sesungguhnya Allah mensyari’atkan kepada Nabi kalian sunnah-sunnah dan petunjuk. Jika kalian mengerjakannya di rumah sebagaimana yang dikerjakan oleh orang-orang yang tertinggal (yakni kaum munafik), sungguh kalian telah meninggalkan sunnah Nabi kalian. Jika kalian meninggalkannya bererti kalian telah tersesat. Tidaklah seseorang itu bersuci dengan sebaik-baiknya (yakni berwudhuk), lalu berangkat ke masjid (untuk sembahyang berjema’ah), melainkan Allah Ta’ala mencatatkan baginya pada setiap langkahnya satu kebaikan, diangkat darjatnya, dan dihapuskan darinya satu dosa. Dan sungguh kita telah melihatnya. Tidak ada tertinggal kecuali orang munafik yang jelas akan kemunafikannya. Sungguh salah seorang di antara kami ada yang dipapah oleh dua orang (semata-mata mahu sembahyang berjema’ah di masjid) lalu didirikan dalam saf jema’ah.”

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Sembahyang yang paling berat bagi orang munafik adalah sembahyang Isya’ dan sembahyang subuh. Seandainya mereka itu mengetahui pahala kedua sembahyang tersebut, pasti mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak. Aku pernah berniat memerintahkan sembahyang agar didirikan kemudian akan kuperintahkan salah seorang untuk mengimami sembahyang, lalu aku bersama beberapa orang sambil membawa beberapa ikat kayu bakar mendatangi orang-orang yang tidak hadir dalam sembahyang berjama’ah, dan aku akan bakar rumah-rumah mereka itu”. (Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih)

Malah orang buta juga tidak dikecualikan daripada mengerjakan sembahyang berjema’ah. Dalam shahih Muslim, dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, dari Rasulullah SAW, beliau pernah didatangi oleh seorang yang buta dan bertanya: “Ya Rasulullah, aku tidak ada orang yang boleh memimpin aku pergi ke masjid. Apakah ada ‘pengecualian’ untuk aku sembahyang di rumah sahaja? Rasulullah SAW bertanya kepadanya, “Apakah engkau mendengar azan?” Dia menjawab: “Ya.” Rasulullah SAW bersabda, “Kamu hendaklah memenuhi panggilan azan.”

Bayangkan orang buta yang mendengar azan berkumandang juga tidak dikecualikan daripada sembahyang berjema’ah di masjid, apalagi orang sihat yang tidak ada sebarang kecacatannya. Berdasarkan hadis-hadis tersebut, ketahuilah bahawa sesungguhnya sembahyang berjema’ah di masjid amat dituntut dan Rasulullah SAW menitik-beratkan sembahyang berjema’ah di masjid. Sebahagian ulama mentafsirkan bahawa tahap perintah Rasulullah SAW untuk mengerjakan sembahyang berjema’ah di masjid seolah-olah mencapai tahap “wajib” bagi kaum lelaki muslimin kecuali mereka yang uzur.

22. TIDAK MENGGERAKKAN BIBIR/MULUT KETIKA SEMBAHYANG

Ada orang yang tidak menggerakkan bibir atau mulut ketika sembahyang. Baik sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat. Mereka baca dalam hati. Perbuatan ini membatalkan sembahyangnya.

Para imam dari keempat-empat mazhab berpendapat bahawa menggerakkan bibir atau mulut dengan bacaan itu hukumnya wajib.

Ini berdasarkan kepada tunjuk ajar Rasulullah SAW. Dari Abdullah bin Sakhbarah Radhiyallahu ‘anhu, “Aku bertanya kepada Khabbab bin Arat, apakah Rasulullah SAW membaca (Al Qur’an dan surah lain) pada sembahyang zhuhur dan asar? Dia menjawab: “Ya”. Aku bertanya lagi, “Bagaimana kamu tahu?” Dia menjawab: “Dari gerakan janggutnya.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Baihaqi)

Seandainya membaca ayat berulang kali namun hanya di dalam hati sudah dianggap cukup di dalam sembahyang – dan itu tidak akan pernah terjadi – Rasulullah SAW tidak akan menjawab pertanyaan orang yang minta diajari sembahyang dengan “Kemudian bacalah olehmu ayat Al-Qur`an yang kamu anggap mudah” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud), kerana yang dimaksudkan dengan membaca itu bukan hanya terlintas di dalam hati, akan tetapi yang dimaksudkan dengan membaca – baik dalam pengertian bahasa maupun syariat – adalah menggerakkan lidah seperti yang telah maklum adanya.

Di antara dalil yang memperkuat pernyataan ini adalah firman Allah ta`ala: Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk membaca Al-Qur`an kerana hendak cepat-cepat (menguasainya) (Surah Al-Qiyamah ayat16)

Seberapa keras bacaan di dalam sembahyang diucapkan?

Al-Nawawi berkata: Adapun selain imam, maka disunahkan baginya untuk tidak mengeraskan suara ketika membaca lafaz takbir, baik dia menjadi makmum atau ketika sembahyang sendiri (munfarid). Tidak mengeraskan suara ini jika dia tidak menjumpai rintangan, seperti suara yang sangat kelam kabut.

Batas minima suara yang perlahan adalah boleh didengar oleh dirinya sendiri jika pendengarannya normal. Ini berlaku secara umum baik ketika membaca ayat-ayat Al-Qur`an, takbir, membaca tasbih ketika rukuk, tahiyyat, salam dan bacaan-bacaan lain di dalam sembahyang, baik yang hukumnya wajib mahupun sunnah. Apa yang dia baca tidak dianggap cukup selama masih belum terdengar oleh dirinya sendiri, dengan syarat pendengarannya normal dan tidak diganggu dengan hal-hal lainnya seperti dijelaskan di atas.

Jika tidak demikian, maka dia harus mengeraskan suara sampai dia boleh mendengar suaranya sendiri, setelah itu barulah bacaan yang dia kerjakan dianggap mencukupi. Demikianlah nas yang dikemukakan oleh Syafi`i dan disepakati oleh pengikutnya.

Sebahagian ulama’ besar lain berkata: Disunnahkan agar tidak mengeraskan suara yang sudah dapat dia dengarkan sendiri. As-Syafi`i berkata di dalam Al-Umm: Hendaklah suaranya boleh didengar sendiri dan orang yang berada di sampingnya. Tidak patut dia mengeraskan suara lebih dari ukuran itu (Rujuk kitab Al-Majmuu` III/295)

Walau bagaimanapun, jangan pula sampai mengganggu jema’ah lain dengan bacaannya itu sehingga boleh menyebabkan hilangnya kekhusyukan jema’ah lain di sebelahnya.

Para ulama’ mazhab Syafi`i berpendapat bahwa orang yang bisu bukan sejak lahir – mengalami kecelakaan di masa perkembangannya – wajib menggerakkan mulutnya ketika membaca lafaz takbir, ayat-ayat Al-Qur`an, bacaan-bacaan lainnya, tahiyyat dan sebagainya, kerana dengan melaksanakan demikian, dia dianggap melafazkan dan menggerakkan mulut, sebab perbuatan yang tidak mampu dikerjakan akan dimaafkan. Akan tetapi selagi masih mampu dikerjakan maka hendaklah dilakukan (Fatwa al Ramli I/140 dan Hasyiyah Qulyubiy I/143)

Kebayakan ulama’ lebih memilih untuk mensyaratkan bacaan minima boleh didengar oleh dirinya sendiri. Sedangkan menurut ulama’ mazhab Maliki cukup menggerakkan mulut saja ketika membaca ayat-ayat Al-Qur`an, namun lebih baik jika sampai boleh didengar oleh dirinya sendiri sebagai upaya untuk menghindar dari perselisihan pendapat (Ad Diin al Khalish II/143). Tetapi jangan pula bacaannya itu sampai didengar dan mengganggu jemaah lain.

23. SEMBAHYANG HANYA DENGAN MEMAKAI KAIN PELIKAT TANPA MEMAKAI BAJU.

Memang benar bahawa kaum lelaki auratnya ialah dari batas pusat hingga ke lutut. Dalam ertikata lain, ramai kaum lelaki kalau sembahyang di rumah bersendirian, lebih suka memakai kain pelikat sahaja tanpa memakai baju. Dari hukum feqah, ia memang sah. Rasulullah SAW menegur orang yang sembahyang yang tidak menutupi bahunya, sebagaimana hadis ini.

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, katanya: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW. “Bolehkah kami sembahyang memakai sehelai kain sahaja?” Rasulullah SAW menjawab: “Adakah kamu mempunyai dua helai kain?” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim).

Dalam sebuah riwayat lain dari Imam Muslim, juga dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu sembahyang dengan hanya memakai sehelai kain sahaja, kalau kain itu tidak cukup untuk menutupi kedua bahumu.”

Sebaik-baiknya ketika kita mengerjakan sembahyang, jangan hanya memakai kain pelikat sahaja tanpa mengenakan baju.

24. YANG LEBIH BERHAK MENJADI IMAM

Ramai yang salah faham dalam menentukan siapa yang layak menjadi imam. Di sesetengah masjid atau surau, mereka lebih suka memberi laluan kepada golongan tua menjadi imam. Padahal orang tua berkenaan belum tentu bacaan Al-Qur’annya bagus. Juga belum tentu tatacara sembahyangnya mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

Padahal di belakangnya, ada orang muda yang bacaan Al-Qur’annya lebih bagus, lebih warak orangnya dan lebih berilmu. Akan tetapi kerana dia lebih muda atau miskin atau dipandang rendah oleh jema’ah lainnya, maka dia diketepikan.

Malah ada juga imam yang bagus bacaan Al-Qur’annya tetapi dia tidak menyempurnakan thuma’ninah sehingga tanpa dia sedari telah menyebabkan rosak seluruh sembahyang yang dia imami tadi. Kalau kita perhatikan, ramai imam dari golongan ini. Bacaan Al-Qur’annya bagus tetapi ilmu tentang tatacara sembahyang Rasulullah SAW, dia tidak tahu. Tanpa dia sedari, dia membawa petaka kepada seluruh jemaah dan dirinya sendiri.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Biarkanlah imam memimpin kalian sembahyang. Jika mereka (yakni imam) berlaku benar, maka pahalanya bagi mereka dan bagi kalian (para makmum). Jika mereka salah, maka pahala tetap bagi kalian dan dosa bagi mereka.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari).

Dari Abu Said RA, ia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW, “Jika ada tiga orang, maka hendaklah salah seorang jadi imam, dan yang paling berhak menjadi imam di antaranya adalah yang paling bagus bacaannya”. (Hadis riwayat Imam Muslim dan Nasa’i)

Imam Hakim meriwayatkan sebuah hadis dari Marstad bin Abi Marstad Al-Ghanawi RA, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda, “Jika kalian suka sembahyang kalian diterima di sisi Allah , maka hendaklah orang yang terbaik dari kalian yang menjadi imamnya sebab imam adalah utusan antara kalian dengan Allah.”

Manakala Imam Ahmad pula menjelaskan dalam kitabnya Ash-Shalat: “Merupakan kewajipan kaum muslimin sekarang ini ialah mengutamakan orang-orang yang terbaik, ahli agama dan paling utama di antara mereka, yakni para ahli ilmu yang bertakwa kepada Allah Ta’ala dan sentiasa menjaga hukum-hukum Allah”

Imam Ahmad mengingatkan para imam: Suruhlah setiap yang menjadi imam, agar ia berhati-hati sekali dengan sembahyangnya agar ia mengerjakan sembahyangnya itu dengan baik dan sempurna, agar para makmumnya menjadi baik pula sembahyangnya.

Pernah suatu hari beliau sembahyang, tidak sempat beliau membaca 3 kali tasbih (Subhanarobbiyal Azhim) ketika rukuknya dan tidak juga sempat membaca 3 kali tasbih (Subhanarobbiyal A’la) ketika sujudnya, kerana imamnya terlalu cepat, sehingga tidak sempat untuk thuma’ninah. Oleh kerana imamnya bergerak terlalu cepat, maka beliau selaku makmum juga terpaksa ikut bergerak dengan cepat.

Maka peringatkan atau tegurlah imam yang demikian itu. Katakan kepadanya, bahawa bila seorang imam mengerjakan sembahyang dengan baik, maka dia akan mendapat ganjaran sembahyangnya itu, juga ganjaran sembahyang para makmumnya.

Sebaliknya, jika sembahyang imamnya tidak sempurna, maka dia akan mendapat dosa kerana ketidak sempurnaan sembahyangnya itu dan juga seluruh dosa-dosa para makmumnya yang ikut tidak sempurna sembahyangnya gara-gara perilaku dia sebagai imam yang tidak menitik beratkan thuma’ninah. Padahal, makmum tetap mendapat ganjaran pahala sebagaimana sepatutnya.

Kata Imam Ahmad lagi, adalah sangat penting bahawa imam itu orang yang bagus bacaannya, orang yang baik tatacara sembahyangnya. Tenang setiap kali berpindah rukun, dan waraq orangnya.

Imam sebelum memulakan takbiratul Ihram, hendaklah – bukan sekadar melihat ke kanan dan ke kiri dan bukan sekadar menyebut “betulkan saf dan rapatkan saf”. Akan tetapi sebagai imam, ia hendaklah benar-benar melihat ke kanan dan ke kiri dan benar-benar merapikan saf sebelum takbiratul ihram.

Diriwayatkan dari Umar: “Bahawa ia pernah berdiri di tempat imam, ia tidak akan memulakan sembahyang, sebelum ia mewakilkan seseorang untuk meluruskan saf. Bila orang itu melaporkan kepadanya bahawa saf sudah lurus, barulah beliau memulakan sembahyang.” (Sila rujuk: At Thabari juz 5 halaman 12).

Juga tersebut dalam sebuah hadis lain, dari Umar Ibn Abdul Aziz: “Bahawa Bilal meluruskan saf-saf, beliau memukul tumit-tumit mereka (para makmum) dengan tongkat, sehingga saf benar-benar lurus.”

Bukannya seperti kebanyakan imam hanya sekadar menyebut sahaja – “Rapatkan dan luruskan saf (sambil memandang ke kanan dan ke kiri)”. Hanya sekadar sebutan tetapi tidak merealisasikan apa yang disebutkannya itu.

Satu perkara lagi yang sering menjadi persoalan ialah salah pengertian imam terhadap maksud hadis “Para imam hendaklah meringankan sembahyang kerana dikhuatiri ada orang tua yang lemah atau ada makmum yang kebetulan ada keperluan lain.”

Mari kita perhatikan hadis shahih berikut yang dikeluarkan oleh Imam Muslim: Diriwayatkan dari Abu Mas’ud Al Anshari RA: Seorang lelaki dating kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Sungguh, saya akan mengakhirkan solat subuh kerana si Fulan suka memperpanjangkan bacaannya ketika menjadi imam.” Saya belum pernah melihat Rasulullah SAW marah sehebat itu dalam memberikan nasihat. Beliau bersabda, “Wahai manusia, sesungguhnya, di antara kamu ada yang menyebabkan orang enggan mengerjakan sola berjemaah. Maka barang siapa di antara kamu yang menjadi imam, hendaklah memendekkan bacaannya (surah sesudah fatihah) kerana makmum di belakangnya ada yang tua, lemah dan mempunyai hajat.”

Maksud hadis ini bukanlah dengan mempercepatkan semua bacaan dalam sembahyang tanpa menitik-beratkan “thuma’ninah” (sebagaimana kebanyakan imam lakukan sekarang). Maksud daripada hadis ini ialah memendekkan bacaan surah sesudah bacaan surah Fatihah. Rasulullah SAW suka membaca 100 ayat di setiap sembahyang subuh.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: